Monday, February 11, 2008

Dari Graduan Kepada Menjadi Usahawan

Pengenalan
Usahawan atau dikenali juga sebagai entrepreneur. Ia adalah satu istilah atau pangkat yang diberikan kepada seseorang yang mengambil pelbagai risiko untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Usahawan adalah ketua kepada perniagaannya. Usahawan mempunyai kuasa menentukan hala tuju perniagaan dari segi pemasaran, operasi, pentadbiran dan sebagainya.

Boleh dikatakan, hampir semua manusia di dalam dunia ini ingin menjadi usahawan. Termasuklah graduan. Mereka teringin menjadi usahawan. Tetapi isunya sekarang, bagaimanakah caranya seorang graduan ini ingin menjadi usahawan. Dengan pengalaman yang cetek, tiada keupayaan kewangan, tiada hala tuju perniagaan yang ingin dijalankan dan sebagainya, mampukah graduan?

Berikut, bolehlah dikatakan sebagai tip untuk graduan memulakan langkah untuk menjadi usahawan.

Tanamkan Minat
Jika tiada minat maka apa yang kita kerjakan tidak menampakan satu kemanisan. Kerja terasa membosankan. Rasa malas. Rasa susah. Dan bermacam rasa yang tak enak dapat kita rasai sekiranya tiada minat dalam melakukan sesuatu perkerjaan.

Begitu juga untuk menjadi usahawan. Minat untuk menceburi karier sebagai usahawan perlulah ada. Ia amat penting kerana dunia perniagaan yang mempunyai banyak rintangannya. Hanya minat mendalam di dalam diri yang akan menjadi pasak agar diri tidak ‘terundur’ daripada bidang yang diceburi ini.

Tanamkan Sifat Berani Gagal
Takut adalah satu perkataan asing di dalam diri usahawan. Tiada usahawan yang penakut. Hanya orang yang berani sahaja yang menjadi usahawan. Berani yang dimaksudkan adalah berani gagal. Berani mempertaruhkan wang ringgit, harta benda, masa, tenaga dan sebagainya dalam menepuhi cabaran dan cubaan dalam arus perniagaan.

Ramai orang tidak menceburi bidang perniagaan disebabkan mempunyai perasaan takut gagal yang tinggi. Pada pendapat saya, faktor takut gagal inilah adalah faktor utama. Hanya diri sendiri dan perancangan rapi serta doa sahaja dapat merubah graduan menjadi insan yang lebih berani gagal dengan izin-Nya.

Perancangan
Nabi Muhammad pernah bersabda,”Pahala berfikir satu saat sama dengan pahala solat sunat 1000 rakaat”. Berfikir disini adalah berfikir tentang benda berfaedah dan baik. Dan bagi graduan yang ingin menjadi usahwan, perlulah berfikir. Berfikir dan merancang. Soalan-soalan dibawah perlu difikir dalam usaha untuk membuat perancangan;
Apa yang perlu dibuat?
Apa yang tidak boleh dibuat?
Apa yang nak diniagakan?
Bila nak buat?
Apa masalah yang akan timbul?
Apa langkah yang perlu dilakukan untuk atasi masalah yang akan timbul?

Ada banyak lagi persoalan-persoalan yang perlu difikir dan perlu dijawab dengan teliti dan terperinci serta mendalam. Apa yang dibincangkan disini juga perlu dijadikan intipati perancangan.

Melentur buluh biarlah dari rebunnya. Melentur keusahawanan sepatutnya biarlah dari bangku universiti lagi. Perancangan perlulah semasa seseorang graduan tersebut masih bergelar pelajar. Bukannya setelah bergelar graduan.

Rapatkan Diri Dengan Suasana Perniagaan
“Tak kenal maka tak cinta”. Ia satu ungkapan yang kita biasa dengar dan boleh dikatakan, semua orang bersetuju dengan ungkapan ini. Ia dipersetujui disebabkan kebenaran disebalik ungkapan itu adalah satu realiti. Maka amat benarlah ungkapan “Tak kenal maka tak cinta”.

Bagaimanakah cara untuk graduan berkenalan dengan dunia perniagaan dan seterusnya menyemi perasaan cinta dan minat terhadapnya? Ada beberapa cara yang boleh difikirkan oleh setiap graduan mengikut keupayaan diri masing-masing. Antaranya adalah seperti di bawah.

Berkenalan dengan usahawan disekeliling anda. Tidak kisahlah usahawan tersebut adalah usahawan pisang goring atau usahwan hartanah. Tidak kisahlah usahawan tersebut adalah usahawan yang sedang mengecapi kejayaan atau usahwan yang sedang merana dek kegagalan. Rapatkan diri anda. Tanya dan fikir. Cuba rasa apa yang mereka rasa. Cuba bayangkan anda berada ditempat mereka sekarang, Selami pengalaman mereka. Banyakkan bercerita perkara berkenaan dengan perniagaan dengan usahawan-usahawan ini.

Ambil ilmu yang diberikan. Jadikan pedoman dan tauladan. Tanya bagaimana mereka boleh gagal atau berjaya. Lakukan adaptasi ilmu-ilmu tersebut terhadap diri sendiri berlandaskan keupayaan diri sendiri. Lakukan perubahaan-perubahan yang bersesuaian dengan kita.

Graduan juga boleh membabitkan diri dalam komuniti yang berteraskan keusahwanan. Mungkin melalui internet, forum, yahoogroups, yahoo messenger dan sebagainya. Ini juga satu cara untuk menjadikan diri graduan berada dalam suasana perniagaan.

Membaca dan mengikuti perkembangan usahawan-usahawan yang telah berjaya dengan cemerlang. Baca sejarah mereka. Bagaimana mereka melakar sejarah? Cuba selaminya. Anggap sahaja diri kita sebagai mereka semasa membaca sejarah mereka. Contohnya Bill Gate dan Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary. Bill Gate adalah seorang usahawan terulung di dunia. Beliau juga adalah orang yang terkaya di dunia. Beliau bukanlah seorang yang bagus dalam akademik. Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary pula orang ke 7 terkaya di Malaysia dan orang Melayu terkaya. Mula berniaga dengan cara jual beli lembu di kampungnya.

Semua ini dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.

Latihan Menghasilkan Kesempurnaan
Setelah graduan mendapat ilmu-ilmu seperti di atas maka tibalah masa untuk melakukanya. Cuba buat perniagaan kecil-kecilan. Ini termasuklah menjual burger atau pisang goring di tepi jalan. Ini mendedahkan diri graduan secara langusng dengan dunia perniagaan seperti kewangan, pemasaran, pembelian, pentadbiran, sumber manusia, pengurusan masa, logistik, penyimpanan dan sebagainya.

Cara lain adalah dengan menyertai jualan langsung dan MLM. Walau bagaimanapun, kesan latihan lebih rendah berbanding dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan. Kelebihan utama cara ini adalah ianya lebih senang dan memerlukan modal yang rendah. Risiko rugi juga amat rendah. Jualan langsung dan MLM dapat memberi idea kepada graduan berkaitan dengan perancangan pemasaran (marketing plan). Ia boleh dicedok untuk kegunaan perniagaan sebenar nanti. Graduan juga berpeluang untuk menambah hubungan dan jaringan perniagaan dari kalangan ahli.

Sekiranya masih di bangku universiti, perniagaan mi segera, gula-gula, biskut, roti dan sebagainya boleh dijalankan di dalam kolej.

Kuasai Operasi Dan Pemasaran
Tertubuhnya sesuatu perniagaan kerana adanya produk atau servis untuk diniagakan. Adalah dicadangkan agar graduan memilih produk berdasarkan akan kepakaran ke atas produk tersebut. Sebagai contoh graduan Hotel Catering, perlu membuka perniagaan berasaskan makanan. Dengan menguasai produk ini bermakna graduan tersebut telah menguasai operasi perniagaan.

Di dalam perniagaan, strategi pemasaran amatlah penting. Untuk memastikan seseorang graduan menjadi usahwan berjaya, beliau perlu mahir dalam bidang pemasaran. Tiada gunanya mempunyai produk yang bagus tetapi kita tidak tahu cara menjualnya. Strategi pemasaran boleh diperolehi daripada pengalaman berniaga kecil-kecilan, pengalaman usahawan lain yang kita kenali seperti dibincangkan di atas dan daripada pembacaan kita tadi.

Sekiranya kedua-dua bidang ini telah dikuasai oleh seseorang graduan maka beliau telah menjadi separuh usahwan. Separuh lagi adalah berkaitan lain-lain perkara seperti kewangan, sumber manusia, logistik dan lain-lain.

Kenapa gabungan operasi dan pemasaran meliputi separuh daripada perniagaan? Ini kerana dengan adanya produk dan kita mampu menjualnya maka modal akan mudah untuk diperolehi, akan ada tenaga kerja yang akan turut serta perniagaan kita, pembekal tidak perlu dicari lagi dan sebagainya. Kenapa begitu? Kerana mereka tahu kita ada produk yang mampu dijual yang mendatang keuntungan dan seterusnya memberi keuntungan kepada mereka.

Kesimpulan
Untuk jadikan graduan sebagai usahwan bukanlah satu perkara mudah. Banyak perkara perlu dilakukan bermula dari bangku universiti lagi. Kuasai operasi dan pemasaran kerana ianya separuh daripada perniagaan itu sendiri. Hanya perancangan, keazaman, usaha, istiqamah dan doa dapat menentukan dengan izin-Nya. Amin.

Pengarang;
g-mie
www.asd2u.biz.tc